Friday 17 April 2009

Kembalinya Seorang Pejuang


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w.




Suatu petang, penulis menerima satu pesanan ringkas. Dari Adik 'Adilah. "Akak, doakanlah Abang Syukri sembuh" Pesanan ringkas ini penulis terima dua minggu yang lepas. Saat penulis sedang sibuk dengan final exam yang baru bermula.

Menerima pesanan ini, fikiran penulis melayang kepada seorang sahabat seperjuangan yang sedang bersabar dengan ujian Allah yang sangat hebat. Ujian yang hebat hanya untuk hamba-Nya yang hebat. Tumor yang menghimpit saraf di otak.
Permintaan adik "Adilah dipenuhi. "Ya Allah, kurniakanlah yang terbaik untuk keluarga Akh Syukri. Kurniakanlah mereka kesabaran. Andai kesembuhan adalah yang terbaik untuknya, dengan rahmat dan kasih sayang-Mu, Engkau sembuhkanlah Ya Allah. Sesungguhnya hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untuk kami"


Hati berniat, tak apa lah. Tunggu habis final exam nanti, penulis akan pulang ke kampung dan menziarahi sahabat ini bersama ummi dan abah. Insya Allah.


Ini imbauan kenangan dua minggu lepas.
Allah s.w.t Yang Maha berkuasa ke atas segala-galanya. Tempoh untuk Akh Syukri berjuang di alam dunia ini rupanya sudah selesai pada iradah Allah. Hari ini genaplah enam hari arwah meninggalkan dunia yang fana ini. Sudah berakhir ujian untuknya di dunia ini. Semoga ruhnya ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh. Semoga ujian yang diterimanya ini benar-banar membersihkan dosa-dosanya.


Seorang yang teguh hati berjuang di jalan Allah. Walaupun kudrat yang tidak begitu mengizinkan, namun kemurnian hasrat untuk bersama-sama dalam perjuangan membakar semangatnya untuk tetap melangkah di jalan mulia ini hingga saat-saat yang terakhir. Pengorbanannya sentiasa meninggalkan sebak di dada kami.


Semoga Allah membalas segala jasa beliau dan sahabat-sahabat yang telah merintis jalan untuk penulis turut sama berada di atas jalan dakwah ini dengan ganjaran pahala dan keampunan.


Kini, akh Ahmad Syukri bin Abdul Kadir sudahpun kembali kepada Ilahi. Sebagai bukti, benarlah janji Allah. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Sungguh, mati itu benar!


"Hati boleh bersedih. Mata boleh menangis. Tetapi lisan hanya boleh mengucapkan apa yang Allah redha" Kembalilah jiwa dalam redha dan di redhai..


Akhirnya, tiada kata untuk bicara. Hanya fatihah sebagai sedekah. Al-FATIHAH!

Thursday 9 April 2009

Mencari Murabbi dari fitrah yang suci...


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w.



Selalu sangat hati berdoa; Ya Allah kurniakanlah buatku seorang Murabbi, yang boleh membimbingku ke jalan Mu yang lurus, menunjukkanku agama-Mu yang benar, agar diriku dekat dengan Mu..



Seorang Murabbi, sahih aqidahnya, betul ibadahnya, indah akhlaqnya.. tinggi ilmunya, rendah hatinya..



Mengimbau kenangan, seorang adik tersayang, pulang dari sekolah. Bahu perit menyandang beg buku, muka lesu, badan penat.. Lain betul adik hari ini. Hati tertanya- tanya. Ku cuba bertanya: "Adik tak makan ke masa rehat tadi? Kenapa penat sungguh angah tengok. Adik tak sihat?"
Adik menarik beg sekolah. Tangan kurusnya membuka zip poket sisi beg sekolahnya. Sebuah buku nota berbentuk ikan dikeluarkan. Kecil. Comel. Ada locen di atasnya. "Satu ni je yang tinggal kat koperasi." Adik mula bersuara. "Adik takut habis. Adik beli ni untuk angah guna duit belanja hari ni." Hati tersentuh. Subhanallah. "Habis tu, adik tak makan apa-apa lagi hari ni? Semua duit belanja sekolah, adik guna untuk beli buku ni?" Adik mengangguk. Ku rangkul adik kedada. Air mata mengalir ke pipi.

Subhanallah, adik ini, seusia tujuh tahun, mengajarku erti ithar, dahulukan orang walau diri sangat memerlukan..


Seringkali hati berdoa; meminta sorang murabbi dari Ilahi. Allah hadirkan buatku seorang murabbi yang berfitrah suci... BERSAMBUNG.

Sesegar titisan hujan-Mu



Duhai Allah Tuhanku,
Sejuk segar titisan hujan-Mu,
menitik ke atas lenganku,
Menyedarkanku betapa segarnya sentuhan kasih-Mu padaku.
Duhai Allah Tuhanku,
Lembut damai sapaan bayu-Mu,
Mengelus-elus rerambutku,
Mengingatkanku betapa lembutnya hembusan kasihmu padaku.
Hujan yang mencurah,
Membangkit segar bau rumput dan bumi,
Menyelinap ke rongga hidung,
Melapang dada menenangkan jiwa.
Dentum guruh di langit,
Panah kilat memancar,
Mengecutkan hati menyentap jiwa,
Allah... Engkau Maha Perkasa.
Hujan reda, awan berarak,
Burung terbang berkicau,
Oh Tuhan... Indahnya nikmat ini,
Rasa selamat dalam peliharaan-Mu.
(bahrulabyadh 5April09)

Wednesday 18 March 2009

Memori Indah di Hari Perkahwinan:)

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan sekelian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ni penulis nak berkongsi sedikit memori indah. Abang Ngah (adik sepupu penulis) dah selamat mengakhiri zaman bujang pada hari Jumaat (13 Mac 2009) lepas. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar bagai di rancang:) Tahniah penulis ucapkan kepada Abang Ngah dan Mimiey, semoga rumah tangga yang dibina mendapat keberkatan dari Allah di dunia dan jua di akhirat... Amiin. Selamat datang ke dalam keluarga kami penulis ucapkan kepada Mimiey, selamat menjadi sebahagian daripada kami:) Tahniah untuk Teh, Ayah Teh, Along, Kak Chik dan Adik Wan.

Penulis begitu teruja. Ini majlis perkahwinan pertama dalam keluarga Teh. Sebulan sebelum majlis, penulis dah janji nak tolong buat kek coklat kukus dalam cup sebagai buah tangan kepada tetamu yang datang. Habis je exam research method pukul 7.30pm hari jumaat tu, penulis terus balik bilik, solat maghrib dan bertolak ke Terminal Putra. Ambil LRT ke KL Central dan ambil tiket ke Rawang. Sepatutnya terus ke Rasa, tapi Komuter ke Rasa sampai 8.30pm sahaja. Terpaksalah penulis menyusahkan Ayah Teh, datang ambil di stesyen Rawang.

Malam tu sangat memenatkan. Kemas bilik pengantin, siapkan hantaran, tolong mummy dan aunty Na siapkan pulut kuning. Bentuk-bentukkan pulut jadi macam buah asam gelugur:)
Esoknya, berarak ke rumah pengantin perempuan di Ampang. Penulis kena pegang kek hantaran sepanjang perjalanan. Huh, penatnya nak jaga, takut-takut kek tu terbalik. Sepupu penulis lagi kesian.. berminyak tangan pegang pulut yang dah di cucuk dengan bunga telur. Berat tu. Nak dijadikan cerita, sesampainya di rumah pengantin perempuan, pulut terpaksa digubah lagi sekali. Dak tertanggal-tanggal buah gelugur dari batang pisang hehe:)

Hari Sabtu malam, ummi, abah, dik Na sampai dari kelantan. Saat ditunggu-tunggu oleh penulis. Lama sungguh tak menatap wajah insan-insan tercinta.. terharunya hati. Sejak masuk semester ini, penulis tak berkesempatan lagi pulang ke kampung. Hanya telefon menjadi penghubung kasih. Malam ni alhamdulillah, penulis dapat mengucup dan memeluk ahli keluarga tecinta..

Malam tu, penulis bersengkang mata menyiapkan kek coklat yang dijanjikan. Dapat siapkan 99 biji. Alhamdulillah:) Bermula pukul 2pagi sampai 6.30 pagi. Selesai solat subuh berjemaah dengan MokJa, penulis senyap-senyap masuk bilik dan tidur.. tak larat sungguh, rasa melayang-layang. Sedar-sedar, mummy tegur, hai dah cukup topup energy? Hui malu nye.. orang sibuk-sibuk kat dapur, anak dara seorang ni berkurung dalam bilik:)

Hari Ahad, majlis menyambut menantu. Seronok dapat jumpa semua sanak saudara. Kedua mempelai segak dan anggun berbaju ungu.. Akhirnya, Jodoh Abang Ngah sampai dulu..

Tahniah sekali lagi untuk Abang Ngah, Mimiey dan Teh sekeluarga:)

Monday 9 March 2009

Salam Maulidurrasul S.A.W.



Alhamdulillah segala puji bagi Allah s.w.t Tuhan sekelian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W.

Pada hari yang mulia dan penuh keberkatan ini, ana ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Maulidurrasul kepada semua saudara-saudara
seIslam.
Suatu ketika, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh para sahabat, kenapakah baginda berpuasa pada hari isnin. Rasulullah s.a.w menjawab, hari isnin adalah hari aku dilahirkan.
Subhanallah, kalau kita sibuk meraikan hari ulangtahun kelahiran kita dengan memotong kek, nah! Ini dia cara Rasulullah s.a.w mengajar kita bagaimana memnyambut hari kelahiran dengan berpuasa sunat. Subhanallah. Inilah suri teladan ter agong:)
Betapa menyambut maulidurrasul merupakan suatu amalan yang teramat mulia, kerana memuji-muji kebesaran Allah dan bersyukur padaNya kerana telah mengutuskan kepada kita seorang penunjuk jalan kepada kebenaran dan cahaya kebahagiaan. Abu Lahab diringankan seksaannya di alam barzakh setiap malam isnin kerana pada hari kelahiran Rasulullah S.A.W, beliau telah membebaskan seorang hamba kerana terlalu gembira menyambut kelahiran baginda S.A.W.
Subhanallah.. betapa ganjil dan aneh bila ada pendapat melarang menyambut maulidurrasul kerana dikatakan memuja-muja Nabi Muhammad S.A.W yang boleh membawa kepada syirik. Seolah-olah mereka tidak dapat membezakan di antara memuja dan memuji.
Subhanallah.
Pernah suatu ketika, sedang Rasulullah S.A.W berkumpul di dalam satu majlis bersama-sama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda S.A.W... Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah S.A.W. Bila ditanyakan oleh Saydina Abu Bakr, baginda mengatakan bahawa baginda terlalu merindui ummatnya yang disebut sebagai ikhwannya. Para sahabat merasa iri hati hinggakan Abu Bakr sekali lagi bertanyakan Rasulullah S.A.W, bukankah kami ini ikhwanmu? Rasulullah S.A.W menjawab: Tidak. Kamu semua adalah sahabatku.. ikhwanku adalah ummatku yang belum pernah melihatku tapi mereka beriman dan sangat mencintaiku.. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka..
Pernahkah menitis dipipi air mata yang lahir dari sekeping hati yang rindu untuk bertemu Rasulullah S.A.W???

Thursday 12 February 2009

~Dirimu Yang Terpilih~

Dirimu yang terpilih...








TETAP
bersemarak
api keazaman, bara
keramat, doa dan
harapan..
walau menghadapi
sejuta cabaran, terus
berpaut pada
kebenaran..
Tenangnya wajah, matangnya bicara, kerana kau
meyakini Allah lah yang Maha Esa.

Wednesday 4 February 2009

Raga berisi Emas atau??










Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Penulis ingin berkongsi sedikit nasihat yang diberikan oleh seorang makcik semasa penulis dan kawan-kawan berda di Program Pengajian Pondok, Pondok Pasir Tumboh, Kelantan. Nasihat ini diberi semasa malam terakhir kami dan makcik Noriah sama-sama menadah kitab Fiqh mazhab asy-Syafie, bab Haidh. Kata Makcik Noriah, Sepanjang kamu berada di sini, kamu dah terima banyak ilmu yang di curahkan oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah di sini. Kamu disini seolah-olah membawa sebuah bakul. Sekarang, bakul-bakul tersebut telah diisi dengan emas. Setiap orang mendapat isi bakul yang berbeza kualiti dan kuantitinya. Esok, kamu akan pulang, dan membawa bakul berisi emas ini. Terpulanglah kepada kamu untuk memastikan bakul-bakul yang kamu miliki sekarang ini akan tetap berisi emas atau bertukar menjadi daun-daun kering. Sekiranya kamu amalkan ilmu-ilmu ini, dan sebarkan kepada orang lain, kamu tetap akan memiliki emas-emas ini malah lebih berharga dirinya. Tetapi sekiranya kamu berhenti mengamalkannya dan tidak sampaikan pada orang lain, yang tinggal dengan kamu hanyalah daun-daun kayu kering, malah tidak bernilai lagi daripada itu.
Benarlah, "Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah"


Renungan mata, seribu pengertian..


Tuesday 3 February 2009

Salam Rindu Untuk Keluarga Tercinta;)





Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Alhamdulillah, setelah agak lama berdiam diri, hari ini Allah beri kesempatan untuk penulis mencatat sesuatu di dalam blog. Syukur juga, dua daripada assignment untuk semester ini dah berjaya di hantar tadi. Alhamdulillah:) Kawan penulis dah berapa kali bertanya, bila nak update blog. Post la apa-apapun katanya. Yang penting tak sepi.



Hemm, hari ni rasanya ada kesempatan ini, penulis nak berkongsi sesuatu. Nak sahut seruan kawan baik penulis ni. "post la apa- apapun, yang penting tak sepi" Teringin nak menulis tentang keluarga tercinta. Bunga Ros merah di atas penulis hadiahkan khas untuk keluarga tercinta;)

Semalam penulis telefon ummi, minta ummi dan abah doakan penulis kuat semangat dan sabar menyiapkan segala tugasan di universiti. Penulis minta ummi dan abah buat solat hajat. Kata abah, abah dengan ummi sentiasa doakan anak-anak. Sentiasa solat hajat untuk anak-anak. Tapi, anak-anak jangan lupa untuk berdoa dan solat hajat sendiri juga.



Bersembang dengan abah, banyak nasihat diterima. Pesan abah, banyakkanlah bersedekah. Terutama kepada orang-orang 'alim. Kata abah, mereka ni sentiasa doakan kebaikan untuk semua umat Islam. Insya' Allah berkat.


Nasihat abah mengingatkan penulis pada pesan seorang makcik semasa penulis kat pondok Pasir Tumbuh dulu. Kalau kamu nak bersedekah, sedekahlah kepada ustaz-ustaz yang mengajar kat pondok. Mereka ni hidup sederhana, wakafkan diri mereka pada jalan menuntut dan mencurahkan ilmu. Berusaha memastikan ulama'- ulama' Islam akan terus wujud di bumi ini. Mereka tak pernah meminta. Kalau kamu ada rezeki lebih, apa salahnya bersedekah pada mereka.


Penulis teringatkan To' Ayah. Ummi kata, To' Ayah tak berapa sihat. To' Ayah inspirasi penulis. Aktivis PAS di kampung. Setiapkali mengimami solat di masjid kampung atau setiapkali berceramah di masjid To' Ayah tak pernah lupa menyeru dan mengajak orang-orang kampung menyokong perjuangan PAS menegakkan Islam.





Penulis teringat ucapan To' Ayah semasa kami sekeluarga adakan Family Day di Cameron Highland baru-baru ni. Pesan To' Ayah, sentiasalah kita bersyukur. To' Ayah bacakan sepotong ayat Quran. Katanya, Allah dah pesan, "Sekiranya kamu bersyukur pasti akan Aku tambahkan lagi nikmat-Ku kepada kamu. Tetapi sekiranya kamu kufur, (ingatlah) sesungguhnya azab-Ku amat pedih"


To' Ayah pesan, bila ayah dah tak ada nanti, berbaik-baiklah semua. Jangan bergaduh adik beradik. Tolong menolong sesama sendiri. Yang mana Allah kurniakan rezeki yang lebih, bersyukurlah. Bagi yang kurang, usaha lagi. Anggap semua adik beradik sama.. Penulis terharu dengar ucapan ni. Berair mata.

To' Ayah dah tak berapa kuat. Dah berusia. Air muka To' Ayah tenang. Penulis suka tatap wajah To' Ayah. Semasa bercuti baru ni, semua sanak saudara sibuk beramah mesra, penulis teman To' Ayah makan jagung rebus di beranda. Terasa teringin sangat habiskan masa dengannya, mendengar nasihat-nasihatnya.. To' Ayah suka minta cucu-cucunya habiskan minuman dia yang berbaki. Sebelum diberi minuman tu pada kami, dia akan kacau dan bacakan doa. Agaknya doa bagi melembutkan hati-hati kami:)

Semoga penulis masih ada masa dan kesempatan untuk bersama-sama To' Ayah lagi. Di kejauhan ini, penulis rindukan kampung halaman. Ummi, Abah, To' Ayah, Mak, Adik-adik, sanak saudara.. Penulis serahkan mereka semua dalam peliharaan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..